Sabtu, 29 November 2008

Bingkisan tentang anak


“Anak adalah untuk zaman yang akan datang,bukan untuk zaman kita.
Salahlah pendidikan orang tua yang hendak memperbuat
anaknya seperti mereka juga”.
(Hamka).

“Peliharalah anak-anakmu dan perbaikilah budi pekerti mereka. Sesungguhnya
anak-anak itu adalah hadiah Allah kepadamu”.
(Hadis).

“Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah,ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak
yang soleh mendoakannya”.
(Maksud hadis).

“Anak yang ditinggalkan ayah jarang yang tidak luka jiwanya sampai besar”.
(Pepatah Melayu).

“Sewaktu kecil anak-anak lelaki menjadi perhiasan mata kerana lucunya, kerana dia tupuan harapan, maka setelah dia besar, dia menjadi kebanggaan
kerana kejayaan hidupnya”.
(Hamka).

“Ikhlas dan sejati akan bertemu di dalam senyuman anak kecil, senyum yang sebenarnya senyum, senyum yang tidak disertai apa-apa”.
(Hamka).

KENALI WARISAN SENI BINA JOHOR: RUMAH LIMAS

1.0 PENDAHULUAN
Seni bina rumah limas tergolong dalam budaya kebendaan. Sebenarnya, seni bina rumah limas banyak menerima pengaruh luar. Antaranya penjajahan Belanda dan British di Tanah Melayu, pengaruh kemasukan agama Islam serta pengaruh daripada seni bina rumah Indonesia. Hal ini demikian dapat dilihat melalui transformasi rumah bumbung panjang iaitu rumah tradisional Melayu Johor kepada rumah limas. Masyarakat Melayu tradisional Melayu Johor telah mengadaptasi seni bina luar ke dalam seni bina rumah limas. Contohnya melalui pembinaan tangga yang mempunyai maksud tertentu. Pengaruh ini bukan sahaja diserap oleh masyarakat Melayu Johor namun masyarakat Melayu amnya. Seni bina rumah masyarakat Melayu Johor ini mempunyai nilai estetika yang perlu dikekalkan dan diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi.

2.0 SEJARAH RUMAH LIMAS
Pengaruh iklim khatulistiwa di Malaysia banyak mempengaruhi corak kehidupan masyarakatnya termasuklah dalam seni bina rumah. Dalam konteks yang lebih kecil iaitu dengan mengambil contoh seni bina rumah limas di Johor, pembinaan rumah tradisional berkenaan berperanan sebagai tempat berlindung yang sesuai dengan faktor topografi tanah dan iklim kawasan tersebut. Jika disingkap daripada sudut sejarah rumah limas, perkataan ‘limas’ menjurus kepada atap yang mempunyai lima perabung (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh 1997:66). Limas atau ‘bumbung lima’ ini ditambah struktur segitiga di atasnya lalu dipanggil ‘limas’ (daripada ‘lima emas’ kerana suatu masa dulu hanya rumah pembesar yang berbumbung limas, dan mungkin mula digunakan semasa Kesultanan Johor-Riau). Rumah jenis ini juga sering disebut dengan rumah Bari (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh 1997:66). Bari dalam bahasa Indonesia berarti lama atau kuno.

Menurut Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh (1997: 70), rumah Melayu bentuk limas mula berkembang dan popular di Malaysia sejak pertengahan kurun ke 19. Pengaruh kebudayaan luar khususnya daripada Kepulauan Melayu seperti Pattani, Acheh, Minangkabau, Jawa, Bugis, Riau, Jambi, dan Bajau telah mempengaruhi seni bina dan reka bentuk rumah Melayu. Contohnya Rumah Minangkabau, Rumah Bugis, Rumah Belanda, dan Rumah Bujang. Kedatangan penjajah Barat khususnya Belanda dan Inggeris pula telah menyebabkan rumah tradisional Melayu Johor berubah bentuk daripada rumah bumbung panjang kepada rumah limas iaitu berbeza pada kedudukan bumbungnya (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh 1997:67). Dapatlah dikatakan bahawa semua rumah tradisional negeri di Malaysia mempunyai rumah bumbung panjang namun, selepas kedatangan penjajah dan kemasukan pengaruh luar, seni bina dan bentuk rumah tradisional Melayu mengalami perubahan bentuk seperti limas atau bumbung Belanda di Johor.

2.1 STRUKTUR BINAAN RUMAH LIMAS
Rumah limas Johor mempunyai bentuk asas yang sama iaitu dibina sederhana tinggi. Dalamnya terdapat unsur rumah Melayu tradisi terutama ciri hiasan kelarai dan alas tiang rumah (Ensiklopedia Malaysiana jilid 11, 1996:248). Cara untuk mengenal pasti rumah limas Johor mengikut Ensiklopedia Malaysiana (1996:252) ialah melalui bumbung rumahnya iaitu mempunyai perabung panjang dan bersambung dengan empat buah perabung limas. Pada puncak bumbung dipasang kayu tajam yang dipanggil tunjak langit (Suraya 1995:39). Rumah ini mempunyai ruang hadapan yang dipanggil serambi dan di hujung serambi ialah ruang anjung. Rumah ini dibuat daripada kayu cengal, keranji, perak dan meranti (Suraya 1995:39).

Garis besar rumah Limas terdiri daripada tiga bahagian, iaitu bahagian depan, bahagian tengah dan bahagian belakang. Pada bahagian depan rumah terdapat tangga dengan anak tangga berjumlah ganjil. Bahagian dalamnya pula berupa pelataran yang luas. Ruangan ini dijadikan pusat berkumpul pada majlis-majlis seperti kenduri dan majlis Marhaban. Ruang tamu sekaligus akan dijadikan ‘ruang pamer’ untuk menunjukkan kemakmuran pemilik rumah. Pada bahagian ruangan dinding akan dihiasi dengan ukiran bermotif flora yang dicat dengan warna keemasan. Ruang bahagian belakang digunakan sebagai dapur.

Dengan istilah lain, bahagian depan digelar ‘rumah ibu’ (sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga), bahagian tengah sebagai ‘rumah tengah’ dan bahagian belakang ialah ‘rumah dapur’ (www.sumsel.go.id/seniBudaya). Kebiasaannya pada bahagian hadapan rumah mesti mempunyai bahagian lantai yang lebih rendah daripada aras rumah ibu. Bahagian tersebut berbumbung namun selalunya tak berdinding dan cuma berpagar susur (railings). Bahagian ini juga dipanggil ‘serambi’, ataupun ‘selasar’ (www.dipardass.go). Ruang ini menjadi tempat pengantara di antara bahagian luar rumah dan dalam rumah untuk tujuan melakukan pekerjaan, beristirahat atau menerima tetamu yang bukan muhrim. Pada bahagian belakang rumah pula terdapat ‘pelantar’ yang menjadi tempat kerja basahan atau basuhan.

Pengasingan antara bahagian ini dilihat sebagai sesuai dengan kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Pembahagian bahagian-bahagian rumah dapat mengelak daripada kebakaran. Hal ini demikian kerana kebakaran selalunya berpunca daripada api masakan. Oleh itu, jika bahagian dapur terbakar, lebih mudah untuk mengawal bahagian lain daripada terbakar. Tambahan lagi, sekiranya pemilik rumah ingin memperbesar rumah, struktur rumah tengah pula boleh ditambah di antara Rumah Ibu dan Rumah Dapur. Struktur rumah limas yang terangkat atas tiang dilihat dapat menambah pengudaraan. Hal ini demikian juga disesuaikan dengan gandingan pelbagai gaya tingkap, termasuk jenis tingkap sependiri seperti ‘French window’, yang berguna untuk kemasukan angin dan cahaya (Lihat lampiran). Menurut Mohd Tajuddin Mohamad Rosli et. al (2004: 28) pula, pembinaan tingkap seperti itu adalah disebabkan kekerapan aktiviti orang Melayu yang banyak duduk dilantai seperti makan, tidur dan sembahyang menyebabkan tingkap dibuat rendah hingga ke lantai untuk disesuaikan dengan keadaan duduk.

Rumah limas mempunyai ‘bumbung lima’ atau ‘limas’ (atap perisai). ‘Bumbung lima’ ialah jenis yang ada lima perabung atau empat perabung seperti piramid untuk struktur ringkas seperti pondok wakaf (http://myschoolnet.ppk.kpm.my). Lebih canggih lagi, ‘bumbung lima’ ini ditambah struktur segitiga di atasnya yang dipanggil ‘limas’ (dari ‘lima emas’ karena suatu masa dulu hanya rumah orang berada atau pembesar yang berbumbung limas, dan mungkin mula digunakan semasa Kesultanan Johor-Riau).

Sifat paling ketara pada rumah limas adalah pada struktur binaannya yang didirikan di atas tiang. Kelebihan yang diperolehi daripada ‘keterapungan’ ini; termasuklah mengelakkan daripada mudah dimasuki haiwan liar, dan dapat mengelak air daripada masuk ke rumah jika berlaku banjir. Rumah juga akan lebih sejuk akibat pengudaraan pada semua bahagian (dari atas, tepi dan bawah). Selain itu, ruang kosong pada bahagian bawah rumah (juga disebut ‘polong’) menjadi tempat yang sesuai untuk menyimpan barang.

Seni bina rumah limas dikaitkan dengan sifat kreatif masyarakat Melayu serta hubungan mereka yang sangat erat dengan persekitaran dan pegangan mereka. Antara faktor yang mempengaruhi seni bina rumah limas ialah faktor iklim, agama Islam, sosial dan alam sekitar. Faktor agama Islam menyebabkan rumah didirikan mengikut arah kiblat dan ruang di antara kaum lelaki dan perempuan dipisahkan. Rumah limas mempunyai bilik yang lebih daripada satu. Hal ini demikian merangkumi bilik tidur utama, bilik tidur anak lelaki, bilik tidur anak perempuan dan bilik tidur tetamu. Selain itu, pembahagian rumah kepada rumah ibu, rumah tengah dan rumah dapur juga merupakan pengaruh sosio agama masyarakat Melayu terdahulu termasuklah dalam masyarakat Melayu Johor. Kewujudan konsep pelan terbuka menyebabkan wujudnya pelbagai bentuk simbol fizikal pemisah. Zon tetamu biasanya pada bahagian hadapan manakala zon keluarga pada bahagian belakang rumah (Mohd Tajuddin Mohamad Rosli et. al 2004: 33).

Faktor iklim dan lokasi perumahan yang berhampiran dengan hutan pula menyebabkan rumah limas ini bertiang dengan lantainya tinggi daripada permukaan tanah supaya dapat mengatasi kelembapan tanah dan dapat mengelak daripada dimasuki haiwan liar (Mohd Tajuddin Mohamad Rosli et. al 2004: 28). Selain itu, tiang ini juga dapat mencegah ruang di dalam rumah ditenggelami air jika berlaku banjir.

Budaya masyarakat Melayu kaya dengan kiasan atau pengaruh daripada agama Islam sehinggakan pengaruh seni bina Barat juga tidak mampu menandinginya. Rumah limas biasanya dibina menghadap matahari naik atau jatuh untuk menyesuaikannya dengan arah kiblat dan juga untuk mengawal suhu di dalam rumah (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh 1997: 36). Orang-orang tua juga mempercayai bahawa kebiasaan membuka tingkap pada awal pagi walaupun matahari belum terbit akan memanggil malaikat pembawa rezeki. Pintu dan tingkap pula dihiasi dengan ukiran berbentuk awan larat yang indah sebagai tanda mengalu-alukan tetamu yang datang kerana mereka dianggap membawa rezeki.

Unsur sufisme dalam seni bina rumah limas adalah sebagai satu perumpamaan kubur supaya sentiasa mengingati kematian. Dengan itu, manusia akan menjauhi perkara-perkara yang dilarang dan mengamalkan perkara yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Konsep ini dapat dilihat pada rumah limas yang mempunyai petunjuk langit pada bahagian hujung kiri dan kanan bumbung dan berbentuk batu nisan. Unsur ini juga sebagai perlambangan bahawa manusia mendapat cahaya daripada langit.

Anak tangga rumah Melayu tradisional sengaja dibina dengan bilangan ganjil kerana bilangan genap menunjukkan kesempurnaan dan ia hanya milik Allah S.W.T. Hal ini demikian juga sama dengan seni bina rumah limas. Bilangan ganjil menunjukkan manusia sebagai hamba-Nya yang lemah dan tidak sempurna. Biasanya masyarakat Melayu tradisional mengambil bilangan 3, 5, 7 dan 9 anak tangga. Angka 7 sering dikaitkan dengan pengertian 7 petala langit, 7 petala bumi, 7 hari dan sebagainya. Hal ini demikian menjelaskan bahawa masyarakat Melayu tradisional sering mengadaptasi isi kandungan al-Quran dalam seni bina rumah mereka (http://www.palembang.go.i).

Pada bahagian tebar layar, masyarakat Melayu Johor menggabungkan corak bulan atau matahari naik. Namun begitu, mereka juga mengggunakan unsur flora. Ukiran susur bayung membuktikan bahawa corak yang digunakan oleh masyarakat Melayu dikaitkan dengan etika nilai kepercayaan kepada Tuhan yang Esa (Rahmah Bujang dan Nor Azlin Hamidon 1998:121). Motif ukiran adalah menggambarkan cahaya atau hidayah dari Allah S.W.T. yang diperlukan oleh manusia. Ukiran bersambung-sambung yang menghiasi pintu pula adalah kiasan kepada kalimah syahadah yang mengikat dan menghubungkan manusia dengan Allah S.W.T. selama-lamanya. Menurut kepercayaan masyarakat Melayu tradisional, kalimah syahadah perlu dihidupkan dalam kehidupan seharian, bukan sahaja sebagai kalimah suci tetapi juga sebagai lambang hubungan rapat manusia dengan Allah S.W.T.

3.0 PENERIMAAN RUMAH LIMAS DALAM KONTEKS MASYARAKAT MODEN
Tradisi pembuatan rumah Limas ditransmisikan secara turun-temurun daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Namun demikian, peredaran zaman telah mengubah tradisi ini. Pengaruh dan arus pemodenan telah mengubah corak pemikiran manusia yang akhirnya turut mengubah arkitekstur rumah limas. Dalam pada itu, kesukaran memperoleh bekalan kayu menyebabkan harga kayu menjadi sangat mahal. Keadaan ini telah mengubah minat masyarakat Johor daripada meneruskan tradisi pembinaan rumah limas. Selain itu, faktor kemampuan ekonomi turut menyebabkan masyarakat Johor khususnya pada hari ini berubah untuk tinggal di rumah teres atau di apartment yang jauh lebih sesuai dengan kemampuan ekonomi mereka.

Perubahan turut berlaku dalam aspek alat atau keperluan asas serta perkakasan dan hiasan rumah. Rumah limas menuntut tuan rumah menyediakan meja dan kerusi pada bahagian anjung atau beranda rumah di samping, di ruang makan dan ruang tamu. Langsir tingkap yang menjadi bahagian terpenting pada rumah limas juga memerlukan penggunaan jumlah kain yang banyak untuk dipadankan dengan panjang dan lebar tingkap tersebut. Selain itu juga, rumah limas mempunyai ruang tamu yang khas dan boleh diubahsuai untuk keperluan anggota rumah (Rahmah Bujang dan Nor Azlin Hamidon 1998:124). Hiasan rumah perlu dipelbagai mengikut kesesuaian pembahagian ruang dalam rumah. Perkara ini menjadi suatu kebiasaan bagi pemilik rumah limas. Namun begitu, bagi masyarakat moden, semua ini tidak menjadi kemestian kepada pemilik rumah kerana tuan rumah berhak menentukan keadaan rumah mereka sendiri. Tambahan pula, kemasukan unsur barat, timur dan juga pengaruh Indonesia dalam membawa imej pada hiasan sesebuah rumah mula menarik minat masyarakat moden terhadap aspek hiasan dalaman rumah. Buktinya semakin ramai masyarakat di Malaysia termasuklah masyarakat Johor sendiri mengimpikan struktur binaan rumah ala barat yang jauh lebih ringkas dan memerlukan kos yang lebih rendah. Pengaruh kenaikan suhu dunia juga sedikit sebanyak telah mengubah seni bina rumah limas iaitu dengan pengaruh alat penghawa dingin.

Dari segi proses pembinaan rumah limas, masyarakat Johor tradisional mempunyai satu sistem pembinaan yang unik. Hal ini demikian kerana, mereka perlu mengikuti beberapa tahap sebelum sesebuah rumah itu dapat didirikan. Proses ini dimulai dengan tahap persiapan melalui mesyuarat antara suami dan isteri tentang rumah yang bakal didirikan berdasarkan kemampuan dan besar rumah tersebut (Mohd Tajuddin Mohamad Rosli et. al 2004:29). Apabila mencapai kata sepakat, mereka akan mengadakan upacara menyembelih haiwan berkaki dua atau empat seperti ayam dan kambing untuk tujuan mesyuarat bagi mencari sumber bahan binaan, tempat yang ingin didirikan, waktu pendirian, pengadaan bahan dan mencari pembuatnya. Dalam majlis mesyuarat tersebut, turut diadakan majlis bacaan doa selamat bersama seluruh penduduk kampung. Majlis tersebut diadakan pada malam Jumaat.

Pada tahap pembangunan, terdapat tiga bahagian yang perlu dibangunkan secara berasingan iaitu bahagian bawah, bahagian tengah, dan bahagian atas rumah. Sebelum proses pembinaan rumah dilangsungkan, terlebih dahulu diadakan upacara pendirian cagak. Upacara ini ditandai oleh penyembelihan haiwan berkaki empat, seperti kambing dan lembu, kemudian barulah proses memacak tiang dilakukan. Setelah bahagian bawah selesai dibuat, proses dilanjutkan oleh pembangunan bahagian tengah rumah.

Biasanya, ketika proses membina bahagian bawah rumah limas, bahan-bahan untuk membuat bahagian ini juga telah dipersiapkan iaitu dimulai daripada papan untuk lantai, dinding, daun pintu, jendela dan sebagainya. Walau bagaimanapun proses ini kadang kala didahulukan dengan membuat bahagian bumbung rumah. Hal tersebut bertujuan agar bahan-bahan pada bahagian tengah, seperti dinding dan lantai, terlindung daripada hujan dan panas. Kerja-kerja membina atas rumah limas terdiri daripada pemasangan alang panjang, pengerap atau alang pelintang, kuda-kuda alang sunan atau tunjuk langit, kasau, tumbukan kasau, reng dan pemasangan atap.

Jika dibandingkan dengan masyarakat moden semua proses tadi diserahkan kepada kontraktor sepenuhnya. Konsep gotong-royong yang diamalkan oleh masyarakat tradisional tidak lagi sesuai digunakan pada masa kini atas alasan kesuntukan masa, sikap pentingkan diri sendiri, sibuk dengan urusan seharian dan terlalu mengejar kebendaan. Budaya meterial dan sekular yang dibawa oleh penjajah dan media pada masa kini telah mengancam amalan bantu-membantu dalam jiwa mereka. Keadaan ini juga turut menyumbang kepada perlambakan kawasan-kawasan perumahan. Masyarakat Melayu khususnya ghairah menjual tanah mereka dan akibat daripada itu, mereka tidak lagi mempunyai tanah dan cenderung untuk memilih rumah teres sebagai alternatif tempat tinggal. Selain itu, ketandusan budaya yang semakin ketara dalam masyarakat setempat telah menjadikan upacara-upacara seperti menyembelih haiwan sebagai tanda kesyukuran terus dilupakan dan dianggap sebagai khurafat.

Ibarat sudah terhantuk baru hendak tersedar, begitulah halnya dengan nasib masyarakat Johor. Rumah tradisional ini telah dijadikan sebagai salah satu cadangan bagi mengatasi masalah kerosakan yang teruk akibat banjir yang kerap melanda negeri tersebut sejak akhir-akhir ini. Memetik kenyataan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman oleh Bernama, kerajaan negeri Johor akan mengetengahkan reka bentuk "Rumah Limas Johor" yang didirikan di atas tiang-tiang, untuk membina projek-projek perumahan di kawasan yang kerap dilanda banjir (Berita wilayah, Berita Selatan Mei, 24). Keadaan ini telah memberi nafas baru kepada rumah limas kerana setelah sekian lama dipinggirkan, barulah maksud seni binanya disedari oleh masyarakat moden pada hari ini. Rumah Limas, akan dibina menerusi projek-projek perumahan kerajaan negeri dan akan menggunakan konkrit dan bukan kayu berikutan harga bahan mentah berkenaan yang mahal di pasaran. Kerajaan negeri bercadang mengketengahkan reka bentuk itu pada tahun ini dengan harga di antara RM60,000 dan RM70,000 sebuah (Berita wilayah, Berita Selatan Mei 24).

Tambahan pula, usaha mempopularkan semula rumah limas juga sedang giat dijalankan bagi menerangkan kepada orang ramai tentang seni warisan tradisional Johor. Program-program seperti program merakyatkan seni budaya yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) dan Kerajaan Negeri Johor dilihat sebagai antara contoh usaha dan perlu diteruskan demi mempertahankan seni warisan dan kebudayaan negeri daripada hilang dimakan zaman.

3.0 KESIMPULAN
Sesungguhnya budaya, kesenian dan kesusasteraan dalam sesebuah negeri sebenarnya mencerminkan identiti negeri dan masyarakat negeri berkenaan. Oleh itu, keperluan untuk kita mempertahankan seni warisan tersebut amatlah dituntut bagi menghalangnya daripada hilang dimakan masa dan lenyap dipukul ‘badai’. Dalam seni bina tradisional rumah limas, langkah yang lebih drastik perlu diambil untuk memelihara dan memulihara saki baki rumah limas dan mengkomersialkannya untuk tatapan generasi masa hadapan. Jangkaan masa hadapan terhadap kewujudan rumah ini pada masa hadapan masih lagi kabur memandangkan minat serta kecenderungan generasi kini terhadap rumah limas semakin terpinggir. Oleh hal yang demikian, program pembudayaan seni warisan perlulah dijalankan dari masa ke masa untuk terus mempromosi rumah limas ke arena yang lebih global lagi.

LAMPIRAN
Buku
Asmad (1987). Johor: Siri Lambaian Nusa. Melaka: Associated Educational Distributors (M) Sdn. Bhd.

Ensiklopedia Malaysiana jilid 11

Mohamad Tajuddin Bin Mohamad Rasdi, Kamaruddin Mohd. Ali, Syed Iskandar Syed Ariffin, Ra’alah Mohamad dan Gurupiah Mursib (2004). Warisan Seni Bina Dunia Melayu Rumah-rumah Tradisi. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

Rahmah Bujang dan Nor Azlin Hamidon (1998). Kesenian Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Suraya (1995). Johor Darul Takzim: Siri Tanah Airku. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas.


Akhbar

Johor Tampil Reka Bentuk Rumah Limas Di Kawasan Kerap Alami Banjir. (2008, May 24). Berita Wilayah (wilayah selatan).


Laman web

Rumah Limas, dalam http://www.palembang.go.id/2007/?mod=12&id=35, diakses pada 18 Julai 2008.

Rumah Tradisional dan Perkampungan, dalam http://www.sumsel.go.id/seniBudaya.php?id=235#top, diakses pada 18 Julai 2008.

Rumah Tradisional Limas, dalam http://www.dipardass.go.id/index.php?page=content&label_mnu=rumah-tradisional-limas, diakses pada 18 Julai 2008.

Rumah Melayu Tradisional, dalam http://myschoolnet.ppk.kpm.my/pakatan/ictic/sejarah/rumah_tradisional/rumah.htm, diakses pada 18 Julai 2008.

Bencana Alam: “Sediakan Payung Sebelum Hujan”

Alam ialah gabungan keadaan-keadaan luaran yang mempengaruhi kehidupan setiap organisma (Zaini Ujang 1998: 1). Alam, secara relatifnya berhubung kait dengan tingkah laku manusia. Hal ini demikian bermakna, segala tingkah laku dan aktiviti manusia di muka bumi ini akan memberi kesan kepada alam. Fenomena alam sejak akhir-akhir ini mula menunjukkan perubahan yang drastik ekoran sifat rakus manusia. Keadaan ini telah menghasilkan ketidakseimbangan antara manusia dengan alam. Hasilnya, bencana pula yang menjelma. Fenomena ketidakseimbangan ini dibuktikan oleh penduduk Afrika Selatan yang kini sudah ‘pandai’ memakai baju sejuk dengan anak kecilnya riang bermain salji, warga Amerika dan Eropah lebih selesa berpakaian tipis akibat cuaca panas melampau, tidak ketinggalan juga beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegar negara China. Dalam pada itu, banjir yang berterusan banyak menelan korbannya bermula dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India (http://www.yadim.com.my/Sains/SainsFull.asp?Id=83).

Laporan Penilaian Ke-4 (Perubahan Iklim 2007) Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim (IPCC) mendedahkan bahawa di peringkat global, suhu bumi telah meningkat sebanyak dua darjah dan kenaikan ini berbeza antara satu rantau dengan satu rantau yang lain. Kawasan Artik umpamanya, menjadi semakin panas pada kadar yang lebih pantas berbanding bahagian-bahagian lain dunia. Peningkatan suhu bumi ini akan memberi tindak balas langsung kepada bumi (http://www.yadim.com.my/Sains/SainsFull.asp?Id=8).

Kebanyakan bencana alam yang berlaku di serata dunia sering dikaitkan dengan pemanasan global. Perkara ini sangat membimbangkan walaupun secara hakikatnya, tidak semua bencana alam berpunca daripada peningkatan suhu bumi. Persoalan yang timbul; Mengapakah hal seperti ini boleh berlaku? Adakah dunia sudah semakin tua atau sudah sampai ke penghujungnya? Apakah yang akan terjadi jika keadaan ini berterusan? Inilah antara persoalan yang masih menjadi perdebatan hangat dalam kalangan saintis demi survival penduduk dunia yang sudah menjangkau lebih daripada enam bilion penghuni. Dalam era industri sains dan teknologi yang berkembang pesat, manusia mampu mengecapi nikmat kesejahteraan hasil hubungan mereka dengan alam sekitar. Dalam masa yang sama jugalah, manusia hampir lupa untuk mengamati dan peka terhadap pencemaran alam yang menyebabkan bencana alam berlaku.

Akibatnya, ketidakstabilan ekosistem menjadi bala bagi semua perlakuan tersebut. Secara umum, implikasi pemanasan global telah mencairkan ais di benua Antartika. Perkara ini diikuti oleh hujan luar biasa yang menyebabkan banjir besar serta menenggelamkan kawasan tanah rendah bumi dan pada masa yang sama, kawasan lain mengalami kekeringan. Kenaikan paras air laut, kemarau, puting beliung, ribut taufan, El-Nino, La-Nina, hujan asid, ribut salji, banjir kilat dan tanah runtuh merupakan antara senario bencana alam akibat kesan pemanasan global. Keadaan ini juga turut mempengaruhi kesihatan manusia dan menjejaskan habitat semula jadi.
Sebenarnya masalah ini sudah menjadi tumpuan dan perhatian dalam kalangan pengkaji sejak dahulu lagi. Melalui laporan yang dikeluarkan oleh Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) pada tahun 2001 menunjukkan bahawa suhu udara global telah meningkat 0.6 darjah celsius (1 darjah fahrenheit) sejak 1861. Menurut kajian IPCC, atmosfera bumi diramal meningkat sehingga mencapai 1.4-5.8 darjah celsius (2.5-10.4 darjah fahrenheit) dan paras laut pula dijangka naik antara 9 hingga 88 sentimeter (0.09-0.88 meter) pada tahun 2100. Terbaru, sidang kemuncak perubahan iklim IPCC yang diadakan di Paris menggambarkan senario masa depan bumi yang suram dan membimbangkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa bumi sedang berhadapan dengan krisis bencana yang buruk pada masa hadapan. Masalah ini hendaklah ditangani secara global serta menuntut tindakan pencegahan yang lebih tegas bagi mengelak daripada menjadi lebih buruk (http://www.brunet.bn/news/pelita/21mac /tinjau.htm).

Perubahan iklim dunia telah banyak mengundang pelbagai masalah namun, jika kita renung dan teliti sedalam-dalamnya, kita akan dapati satu perkara yang perlu diambil kira adalah pada klausa 'memerlukan penelitian bersama'. Berhubung peningkatan kejadian bencana alam, 'memerlukan penelitian bersama' membawa maksud bahawa, isu bencana alam yang merupakan isu global ini perlu dibincangkan, difikirkan dan ditangani bersama-sama di peringkat bawahan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Hal ini demikian kerana masalah bencana alam yang berlaku di seluruh dunia ini pernah, sedang dan akan dialami oleh semua negara. Oleh sebab itu, langkah-langkah bijak perlu dirancangkan bagi mengatasi masalah ini .

Bagaimanakah cara kita hendak menyelesaikan masalah di atas? Cara kita menjawab atau menyelesaikannya adalah bergantung kepada persepsi kita sendiri terhadap alam yang secara langsung akan mendedahkan cara hidup kita. Adakah cara hidup kita dapat membantu memulihara alam atau sebaliknya? Unit Pendidikan Persatuan Pencinta Alam atau Malaysia Nature Society (MNS) sering menerima pertanyaan sedemikian tentang cara-cara memulihara alam sekitar yang sepatutnya dilakukan oleh semua pihak. Tidak kurang juga yang bertanya tentang usaha yang perlu dilakukan oleh seseorang individu supaya dapat memulihara alam sedangkan masalah-masalah itu telah menjadi semakin rumit ( http://www.brunet.bn/news/pelita/21mac/tinjau.htm). Alam yang tidak dipelihara dan dipulihara akan membawa bencana.

Bencana adalah sesuatu kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat. Bencana alam memerlukan pengendalian yang melibatkan sumber, peralatan, kekerapan dan tenaga manusia yang ekstensif daripada banyak agensi serta penyelarasan yang berkesan. Keadaan ini memerlukan tindakan yang kompleks dan melibatkan masa yang panjang (http://jkrputrajaya.gov.my/node/242).

Bencana alam datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ada sesetengah bencana boleh dijangkakan manakala sebahagian lainnya tidak. Bencana alam telah berlaku di muka bumi ini sejak beratus-ratus tahun yang lalu, namun kejadian ini akan hanya dikenali sebagai bencana apabila melibatkan kehilangan nyawa manusia. Bencana yang datang akan meninggalkan kesan yang menggerunkan, jadi penting bagi kita mengetahui dan mempelajarinya. Bencana alam sebahagian besarnya berlaku akibat daripada proses semulajadi alam. Dalam keadaan tertentu, bencana alam juga boleh berlaku akibat daripada campur tangan manusia. Dalam kes yang lain, kesan-kesan bencana alam akan meningkat intensitinya akibat daripada tingkah-laku manusia ‘merobek’ bumi ini.

Di Malaysia, bencana alam jarang berlaku. Walaupun begitu, antara bentuk-bentuk bencana yang kerap direkodkan di negara ini adalah ribut petir, banjir kilat dan tanah runtuh. Sepanjang sedekad kebelakangan ini, terdapat beberapa peristiwa bencana alam yang mendapat liputan meluas seperti Tragedi Highland Tower (1993), Tragedi Pos Dipang (1996), Tragedi Ribut Greg di Sabah (1996) dan kejadian tanah runtuh di Gombak (2004), manakala tragedi hempasan ombak besar Tsunami pada 26 Disember 2004, merupakan yang pertama kali berlaku dan tidak mungkin kita semua lupakan (http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=383&cmd=resetall).

Tragedi-tragedi alam ini boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia di bumi ini. Ayat 41, surah Ar-Ruum menyatakan; "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" Ayat ini membuktikan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alam sekitarnya (http://www.ikim.gov.my).

Walau bagaimanapun, kita tidak harus pasrah tanpa usaha. Payung perlulah disediakan bagi mengelak daripada basah buat kali kedua. Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t. sering mengingatkan manusia untuk bersiap sedia. Ayat 71, surah An-Nisa' menyatakan "bersedialah dan berjaga-jagalah". Hal ini demikian membuktikan bahawa membuat persediaan sebelum sesuatu berlaku atau sebelum melakukan sesuatu bukanlah satu perkara asing bagi Islam (http://www.ikim.gov.my).

Sistem amaran awal bencana merupakan satu langkah yang diperlukan bagi mengelakkan masalah bencana alam berulang. Sistem ini akan membantu kita mengesan kemungkinan berlakunya bencana alam dengan lebih dahulu. Dalam kes bencana Tsunami misalnya, sistem tersebut boleh mengesan gegaran yang akan menyebabkan Tsunami berlaku. Sistem ini terdiri daripada unit-unit seismograf (alat pengesan gempa bumi), pengesan ombak dan alat DART. Alat DART inilah yang akan menilai dan melaporkan kewujudan dan intensiti ombak Tsunami selepas gempa bumi di lautan berlaku (http://www.ikim.gov.my). Sistem amaran ombak Tsunami di Lautan Pasifik telah terbukti berkesan menyampaikan maklumat berkaitan bencana ini. Misalnya di Jepun, sebelum pembinaan sistem ini, 14 kejadian Tsunami telah mengorbankan lebih 6000 nyawa, namun setelah diperkenalkan dengan sistem ini, daripada 20 kejadian Tsunami yang melanda, nyawa yang terkorban hanyalah seramai 215 orang sahaja.

Peranan sistem komunikasi juga dilihat amat penting terutamanya ketika menyalurkan maklumat. Sistem amaran awal ini tidak akan dapat berfungsi dengan baik jika jaringan komunikasi negara-negara di Lautan Hindi tidak cekap. Jaringan komunikasi penting bagi memastikan maklumat bencana dapat disampaikan secepat mungkin kepada negara-negara yang terlibat. Apalah gunanya sistem yang menelan belanja RM76 juta ini, jika maklumat yang diperolehi itu tidak dapat disalurkan kepada negara-negara penerima bencana.

Pembangunan sistem amaran awal ini juga mesti disertakan dengan program kesedaran awam. Orang ramai mesti dididik dengan maklumat yang tepat berkenaan bencana alam. Mereka mesti sedar akan kemungkinan bahaya yang bakal mereka hadapi dan cara berhadapan dengan bahaya tersebut. Program kesedaran ini juga akan menyokong kepada kejayaan sistem amaran awal yang bakal dibina kelak. Dengan program kesedaran dan pendidikan, orang ramai akan tahu cara untuk bertindak dalam keadaan bencana yang sedang melanda tanpa menimbulkan kejadian panik.

Selain itu, pengkajian tentang topografi tanah sebelum memajukan sesuatu kawasan juga penting bagi mengelak bencana alam (http://www.theborneopost.com/?p=11757). Para pemaju perumahan dan pusat komersial di negara kita perlulah mengkaji bentuk muka bumi ataupun topografi di kawasan yang akan dibangunkan terlebih dahulu bagi mengelak sebarang masalah serta bencana yang mungkin timbul pada masa hadapan. Kajian yang teliti mengenai keadaan topografi kawasan yang ingin dibangunkan amat penting bagi membantu pihak pemaju merancang pembangunan mereka. Hal ini demikian kerana, kesilapan mengukur kekuatan tanah akan menyebabkan bangunan yang dibina berhadapan dengan risiko runtuh akibat daripada hakisan tanah dan tanah runtuh. Contoh yang dapat dilihat adalah melalui tumbangnya Highland Tower pada tahun 1993 yang banyak meragut nyawa. Oleh yang demikian, pengkajian tentang kekuatan struktur tanah adalah perlu bagi mengelak bencana alam seperti tanah runtuh daripada berlaku.

Banjir berlaku tanpa memberi petunjuk awal kepada kita, namun apabila melanda, banyak kudrat yang terpaksa dikerah bagi membantu mangsanya. Banjir mengejut yang melanda negeri Johor sejak kebelakangan ini menyebabkan beberapa bandar di negeri berkenaan lumpuh. Oleh yang demikian, pengenalan kepada sistem peparitan yang lebih terkini adalah diperlukan bagi menjadikan sistem peparitan lebih efisen khususnya di kawasan-kawasan yang kerap dilanda banjir. Hasrat tersebut boleh dicapai melalui main peranan oleh badan-badan yang bertanggungjawab seperti Majlis Pembandaran dan Jabatan Peparitan dan Saliran. Sungguhpun begitu, perancangan yang teliti terhadap projek-projek berkaitan dengan sistem perparitan ini perlu dititik beratkan supaya projek-projek yang dirancang tidak menjadi nakhoda kasap, hujung hilang pangkal lesap. Sejumlah peruntukan yang besar juga perlu disediakan untuk menampung kos perlaksanaannya. Hal ini demikian bagi memastikan perancangan pembangunan ini berjalan lancar, menyeluruh dan dilakukan dengan teliti.

Walaupun pelbagai langkah yang diambil untuk mengelak bencana daripada berulang buat kali kedua, hal ini demikian tidak bermakna jika kesedaran orang awan diabaikan. Oleh yang demikian, kesedaran serta amalan bersiap sedia sebelum berlaku bencana adalah satu tindakan yang perlu bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Untuk itu, peranan semua pihak khususnya badan-badan yang terlibat seperti Jabatan Penerangan Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pihak Berkuasa Tempatan haruslah dikerah bagi memberi pengetahuan dan didikan tentang langkah yang sewajarnya diambil sekiranya bencana melanda. Kempen-kempen kesedaran dan penyebaran maklumat perlu juga dilakukan khususnya di sekolah-sekolah dan di tempat-tempat tumpuan orang ramai. Penggunaan jaringan internet harus dimaksimumkan bagi memberi pengetahuan dan panduan kepada pengguna. Contoh terbaik yang ada sekarang adalah menerusi laman Jabatan Penerangan Negara yang ada menerangkan definisi bencana, jenis-jenis bencana, langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko bencana serta badan-badan yang boleh diharapkan jika bencana berlaku.

Selain itu, penyelidikan dan pemantauan terhadap alam sekitar juga perlu dilakukan secara berterusan agar sebarang fenomena bencana alam tidak mendatangkan risiko yang tinggi kepada kehidupan sejagat. Mungkin kaedah pendekatan mesra alam perlu diberi penekanan dalam setiap aspek kehidupan. Pengurangan pengeluaran gas-gas karbon monoksida ke atmosfera di samping usaha-usaha pemeliharaan dan penanaman semula hutan dilihat dapat membantu mengurangkan risiko kerosakan pada lapisan ozon. Negara kita masih lagi mempunyai antara 70 hingga 75 peratus kawasan tanah yang masih diliputi hutan. Hutan memainkan peranan penting dalam persekitaran, pembangunan, kemasyarakatan, ekonomi dan menyumbang kepada kestabilan ekologi negara ini. Pengenalan kepada akta yang lebih tegas dilihat perlu bagi memantau pencemaran, menilai keadaan alam sekitar, memantau pengurusan bahan buangan sisa toksik, dan bencana alam.

Penubuhan Pusat Pengurusan Bencana juga dilihat sebagai satu langkah positif kerajaan bagi melihat keperluan dan persediaan menghadapi bencana. Kebiasaanya, bencana datang tanpa melaungkan amaran. Oleh yang demikian, amalan sediakan payung sebelum hujan dilihat sebagai sesuatu yang dituntut supaya tidak timbul kekalutan dan kepincangan sewaktu mengurus bencana. Selain itu, Penubuhan Tabung Bencana, penting sebagai persediaan jika sesuatu bencana melanda negara. Peranan Jabatan Alam Sekitar dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan iaitu mentadbir dan menguatkuasa undang-undang berkaitan dengan alam sekitar juga dilihat mampu mencapai matlamat jangka pendek dan jangka panjang berhubung pengurusan alam sekitar di negara kita.

Secara keseluruhannya sikap jujur dan telus ketika menjalankan tugas amat diperlukan supaya birokrasi pengurusan pada semua peringkat pentadbiran berjalan dengan lancar dan dipercayai oleh warganegaranya. Selain itu juga, kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar juga penting bagi menjamin kestabilan ekosistem alam sekitar. Selagi ada perancangan baik bagi mengawal segala kebarangkalian terhadap bencana alam, maka segala perancangan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Oleh yang demikian, langkah untuk mengawal kejadian bencana alam perlulah lebih komprehensif dan lebih serius terhadap keseimbangan dan pembangunan yang lebih mampan, di samping mengkoordinasikan pendekatan secara struktur.

Rabu, 19 November 2008

Kenali semula Peranan kita sebagai pendidik

Pada umumnya orang memahami bahawa seseorang pendidik itu adalah mereka yang terlibat dengan kerja-kerja pendidikan atau pengajaran. Dengan erti kata lain seseorang yang terlibat dengan kerja-kerja pengajaran ilmu pengetahuan sama ada di sekolah, maktab, universiti, surau, masjid, pondok atau madrasah. Pengertian seperti ini sebenarnya dilihat dalam konteks yang khusus. Proses pendidikan sebenarnya berlaku di mana-mana seperti di rumah, tempat permainan dan sebagainya. Oleh yang demikian tugas mendidik itu bukan hanya menjadi taggungjawab guru di sekolah malah mereka yang terlibat sama ada secara formal atau tidak formal, terutama sekali ibu bapa atau penjaga murid itu sendiri.

Sungguhpun begitu, menceburkan diri dalam bidang keguruan menandakan seseorang itu sudah bersedia berkorban untuk bermati-matian memperbetul akhlak bangsanya. Allah s.w.t berfirman: “Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat engkau dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab (Al-Quran) dan Al Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesunguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Surah Al-Baqarah : 129). Berdasarkan ayat tersebut, nyatalah bahawa tugas untuk mendidik ummah adalah bergantung kepada golongan pendidik.

Para pendidik harus sedar bahawa tugas menyampaikan ilmu adalah amanah Allah dan bukan suatu tugas yang ringan. Tugas mendidik merupakan satu tanggungjawab besar dalam membina perkembangan manusia. Oleh itu, mereka perlu berhati-hati dalam menjalankan tugas. Rasulullah s.a.w bersabda:“Sesiapa yang mengasaskan jalan yang baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatat baginya pahala sebagaimana pahala orang yang mengikutinya, dengan tidak dikurangkan sedikitpun pahalanya. Dan sesiapa yang mengasaskan jalan tidak baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatatkan baginya dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya dengan tidak dikurangkan sedikit pun dosanya”. Hadis ini menjelaskan mengenai tanggungjawab dan kedudukan pendidik atau guru dalam konteks keagamaan. Mereka bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t terhadap ilmu yang disampaikan dan kesan daripada penyampaian itu terhadap orang lain pada hari kiamat. Jika kesedaran keagamaan seumpama ini wujud dalam setiap diri pendidik, maka sudah tentu pendidik itu akan berhati-hati dalam merancang kurikulum dan bidang keilmuan. Ini kerana usaha itu bukan berakhir di situ sahaja, tetapi dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t pada hari kemudiannya. Pendidik haruslah berkemampuan membina keunggulan sahsiah pelajar-pelajarnya dan keunggulan suasana pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai keseimbangan antara pengahayatan agama dan moral, dengan kemahiran dalam pengurusan hidupnya.

Seorang pendidik hendaklah bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala kerana takwa melambangkan kejituan iman, keikhlasan, dan sanggup untuk berkorban. Taqwa menurut Abdullah bin Mas'ud radliallahu `anhu adalah "Allah ditaati dan tidak didurhakai, Dia diingat dan tidak dilupakan, Dia disyukuri dan tidak dikufuri." (Tafsir Ath-Thabari jilid 3 hal. 375-376, tentang firman Allah Subhanahu wa Ta`ala dalam surat Ali Imran ayat 102). Dengan dasar taqwa ini seorang pendidik akan dapat mengikhlaskan hatinya untuk mengenggam tanggungjawabnya dengan baik. Seorang pendidik harus dapat menjadi contoh teladan bagi anak didiknya baik dalam perkataan, perbuatan dan akhlaknya. Pendidik akan menjadi contoh dalam penunaian kewajiban kepada Rabbnya, kepada rasulnya lalu kepada masyarakatnya. Seorang pendidik seharusnyalah mencintai kebaikan bagi anak didiknya sebagaimana ia cinta kebaikan bagi dirinya sendiri, bersifat pemaaf dan lapang dada, walaupun suatu saat ia harus memberi hukuman kepada anak didiknya namun ia tidak meninggalkan sifat rahmah (kasih sayang).

Pendidik juga perlu mahir dalam bidangnya, menguasai cara-cara mengajar, cinta akan bidangnya dan cinta pada anak didiknya sebagaimana cintanya pada dirinya sendiri. Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam telah bersabda: "Tidak beriman salah seorang di antara kalian hingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya." (Muttafaqun 'alaihi dari Anas bin Malik radliallahu `anhu)

Selain itu juga ketaksuban dalam mencurahkan segala kemampuannya dalam mengarah anak didiknya dengan memberikan tarbiyah yang baik adalah perlu. Pendidik juga perlu membekali diri dengan pengetahuan yang bermanfaat dalam mengajarkan akhlak yang utama pada anak didik serta berupaya untuk menjauhkan mereka daripada perlakuan yang buruk. Antara mengajar dan mendidik tidak dapat dipisahkan, keduanya dilakukan dalam satu waktu.

Abi Hurairah radliallahu `anhu berkata: Seorang lelaki berkata kepada Nabi sallallahu `alaihi wa sallam:."Berwasiatlah kepadaku." Bersabda Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam: "Jangan marah." Maka orang itu mengulangi permintaan nasihat beberapa kali, dan Nabi sallallahu `alaihi wa sallam tetap bersabda: "Jangan marah." (HR. Bukhari) Diibaratkan keberanian itu dengan kemampuan untuk menahan marah, sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam dari Abi Hurairah radliallahu `anhu: "Tidaklah dinamakan orang yang kuat itu orang yang kuat dalam bergulat, namun hanyalah yang dinamakan orang yang kuat adalah orang yang dapat menguasai dirinya tatkala marah." (Muttafaqun 'alaih). Ibnu Ma'sud berkata: "Tiada yang menghalangiku untuk memberi peringatan (nasihat) setiap hari, melainkan kerana aku tidak suka membuat kalian jenuh/bosan. Saya sengaja menasihati kalian dalam waktu yang jarang sebagaimana dulunya Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam terus menerus menjaga kami dengan nasihat yang dilakukan dengan jarang." (Muttafaqun 'alaihi). Pemberian nasihat dengan jarang dimaksudkan untuk menghindari terjadinya kejenuhan, namun kalau anak didik tersebut telah mencintai dan menyukai nasihat maka tidak ada salahnya sering-sering diberikan nasihat. Yang penting ialah seorang pendidik jangan sampai melarikan anak didiknya dari kesenangan mendengarkan nasihat kerana jenuh dengan nasihat yang terlalu sering diberikan, namun hendaknya melihat keadaan dari anak didik tersebut.

Kedudukan pendidik menurut Islam adalah mulia kerana mereka adalah penerus tugas Nabi s.a.w dalam menyampaikan ilmu dengan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnahnya. Oleh yang demikian para pendidik wajiblah membentuk keperibadian yang luhur dan memiliki sifat-sifat yang terpuji sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam kerana pendidik adalah qudwah dan juga uswah yang baik bagi anak-anak didik.Islam menjelaskan bahawa ibu bapa atau penjaga berperanan penting dalam mendidik anak-anak mereka, kerana merekalah yang mencorakkan kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa berkewajipan dan berperanan mengasuh, membentuk mendidik dan memimpin anak-anak menjadi orang yang mulia di sisi Allah S.W.T, bangsa dan Negara. Peranan guru sebagai pendidik juga tidak kurang pentingnya, mereka diamanahkan oleh ibu bapa untuk mendidik, mengajar, membimbing dan mengembangkan fitrah (malakah) anak didik mereka. Oleh yang demikian pada umumnya tugas mendidik itu adalah menjadi tanggungjawab bersama, sama ada secara formal atau tidak formal khusnya bagi ahli-ahli ilmu, kerana tugas ini juga merupakan amanah Allah s.w.t.

Sumber dipetik, diubahsuai dan disesuaikan daripada:

www.mrscd.wordpress.com/2008/03/23/pendidik-dalam-islam

www.unity99.tripod.com/panduanpendidik