Sabtu, 29 November 2008

Bencana Alam: “Sediakan Payung Sebelum Hujan”

Alam ialah gabungan keadaan-keadaan luaran yang mempengaruhi kehidupan setiap organisma (Zaini Ujang 1998: 1). Alam, secara relatifnya berhubung kait dengan tingkah laku manusia. Hal ini demikian bermakna, segala tingkah laku dan aktiviti manusia di muka bumi ini akan memberi kesan kepada alam. Fenomena alam sejak akhir-akhir ini mula menunjukkan perubahan yang drastik ekoran sifat rakus manusia. Keadaan ini telah menghasilkan ketidakseimbangan antara manusia dengan alam. Hasilnya, bencana pula yang menjelma. Fenomena ketidakseimbangan ini dibuktikan oleh penduduk Afrika Selatan yang kini sudah ‘pandai’ memakai baju sejuk dengan anak kecilnya riang bermain salji, warga Amerika dan Eropah lebih selesa berpakaian tipis akibat cuaca panas melampau, tidak ketinggalan juga beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegar negara China. Dalam pada itu, banjir yang berterusan banyak menelan korbannya bermula dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India (http://www.yadim.com.my/Sains/SainsFull.asp?Id=83).

Laporan Penilaian Ke-4 (Perubahan Iklim 2007) Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim (IPCC) mendedahkan bahawa di peringkat global, suhu bumi telah meningkat sebanyak dua darjah dan kenaikan ini berbeza antara satu rantau dengan satu rantau yang lain. Kawasan Artik umpamanya, menjadi semakin panas pada kadar yang lebih pantas berbanding bahagian-bahagian lain dunia. Peningkatan suhu bumi ini akan memberi tindak balas langsung kepada bumi (http://www.yadim.com.my/Sains/SainsFull.asp?Id=8).

Kebanyakan bencana alam yang berlaku di serata dunia sering dikaitkan dengan pemanasan global. Perkara ini sangat membimbangkan walaupun secara hakikatnya, tidak semua bencana alam berpunca daripada peningkatan suhu bumi. Persoalan yang timbul; Mengapakah hal seperti ini boleh berlaku? Adakah dunia sudah semakin tua atau sudah sampai ke penghujungnya? Apakah yang akan terjadi jika keadaan ini berterusan? Inilah antara persoalan yang masih menjadi perdebatan hangat dalam kalangan saintis demi survival penduduk dunia yang sudah menjangkau lebih daripada enam bilion penghuni. Dalam era industri sains dan teknologi yang berkembang pesat, manusia mampu mengecapi nikmat kesejahteraan hasil hubungan mereka dengan alam sekitar. Dalam masa yang sama jugalah, manusia hampir lupa untuk mengamati dan peka terhadap pencemaran alam yang menyebabkan bencana alam berlaku.

Akibatnya, ketidakstabilan ekosistem menjadi bala bagi semua perlakuan tersebut. Secara umum, implikasi pemanasan global telah mencairkan ais di benua Antartika. Perkara ini diikuti oleh hujan luar biasa yang menyebabkan banjir besar serta menenggelamkan kawasan tanah rendah bumi dan pada masa yang sama, kawasan lain mengalami kekeringan. Kenaikan paras air laut, kemarau, puting beliung, ribut taufan, El-Nino, La-Nina, hujan asid, ribut salji, banjir kilat dan tanah runtuh merupakan antara senario bencana alam akibat kesan pemanasan global. Keadaan ini juga turut mempengaruhi kesihatan manusia dan menjejaskan habitat semula jadi.
Sebenarnya masalah ini sudah menjadi tumpuan dan perhatian dalam kalangan pengkaji sejak dahulu lagi. Melalui laporan yang dikeluarkan oleh Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) pada tahun 2001 menunjukkan bahawa suhu udara global telah meningkat 0.6 darjah celsius (1 darjah fahrenheit) sejak 1861. Menurut kajian IPCC, atmosfera bumi diramal meningkat sehingga mencapai 1.4-5.8 darjah celsius (2.5-10.4 darjah fahrenheit) dan paras laut pula dijangka naik antara 9 hingga 88 sentimeter (0.09-0.88 meter) pada tahun 2100. Terbaru, sidang kemuncak perubahan iklim IPCC yang diadakan di Paris menggambarkan senario masa depan bumi yang suram dan membimbangkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa bumi sedang berhadapan dengan krisis bencana yang buruk pada masa hadapan. Masalah ini hendaklah ditangani secara global serta menuntut tindakan pencegahan yang lebih tegas bagi mengelak daripada menjadi lebih buruk (http://www.brunet.bn/news/pelita/21mac /tinjau.htm).

Perubahan iklim dunia telah banyak mengundang pelbagai masalah namun, jika kita renung dan teliti sedalam-dalamnya, kita akan dapati satu perkara yang perlu diambil kira adalah pada klausa 'memerlukan penelitian bersama'. Berhubung peningkatan kejadian bencana alam, 'memerlukan penelitian bersama' membawa maksud bahawa, isu bencana alam yang merupakan isu global ini perlu dibincangkan, difikirkan dan ditangani bersama-sama di peringkat bawahan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Hal ini demikian kerana masalah bencana alam yang berlaku di seluruh dunia ini pernah, sedang dan akan dialami oleh semua negara. Oleh sebab itu, langkah-langkah bijak perlu dirancangkan bagi mengatasi masalah ini .

Bagaimanakah cara kita hendak menyelesaikan masalah di atas? Cara kita menjawab atau menyelesaikannya adalah bergantung kepada persepsi kita sendiri terhadap alam yang secara langsung akan mendedahkan cara hidup kita. Adakah cara hidup kita dapat membantu memulihara alam atau sebaliknya? Unit Pendidikan Persatuan Pencinta Alam atau Malaysia Nature Society (MNS) sering menerima pertanyaan sedemikian tentang cara-cara memulihara alam sekitar yang sepatutnya dilakukan oleh semua pihak. Tidak kurang juga yang bertanya tentang usaha yang perlu dilakukan oleh seseorang individu supaya dapat memulihara alam sedangkan masalah-masalah itu telah menjadi semakin rumit ( http://www.brunet.bn/news/pelita/21mac/tinjau.htm). Alam yang tidak dipelihara dan dipulihara akan membawa bencana.

Bencana adalah sesuatu kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat. Bencana alam memerlukan pengendalian yang melibatkan sumber, peralatan, kekerapan dan tenaga manusia yang ekstensif daripada banyak agensi serta penyelarasan yang berkesan. Keadaan ini memerlukan tindakan yang kompleks dan melibatkan masa yang panjang (http://jkrputrajaya.gov.my/node/242).

Bencana alam datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ada sesetengah bencana boleh dijangkakan manakala sebahagian lainnya tidak. Bencana alam telah berlaku di muka bumi ini sejak beratus-ratus tahun yang lalu, namun kejadian ini akan hanya dikenali sebagai bencana apabila melibatkan kehilangan nyawa manusia. Bencana yang datang akan meninggalkan kesan yang menggerunkan, jadi penting bagi kita mengetahui dan mempelajarinya. Bencana alam sebahagian besarnya berlaku akibat daripada proses semulajadi alam. Dalam keadaan tertentu, bencana alam juga boleh berlaku akibat daripada campur tangan manusia. Dalam kes yang lain, kesan-kesan bencana alam akan meningkat intensitinya akibat daripada tingkah-laku manusia ‘merobek’ bumi ini.

Di Malaysia, bencana alam jarang berlaku. Walaupun begitu, antara bentuk-bentuk bencana yang kerap direkodkan di negara ini adalah ribut petir, banjir kilat dan tanah runtuh. Sepanjang sedekad kebelakangan ini, terdapat beberapa peristiwa bencana alam yang mendapat liputan meluas seperti Tragedi Highland Tower (1993), Tragedi Pos Dipang (1996), Tragedi Ribut Greg di Sabah (1996) dan kejadian tanah runtuh di Gombak (2004), manakala tragedi hempasan ombak besar Tsunami pada 26 Disember 2004, merupakan yang pertama kali berlaku dan tidak mungkin kita semua lupakan (http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=383&cmd=resetall).

Tragedi-tragedi alam ini boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia di bumi ini. Ayat 41, surah Ar-Ruum menyatakan; "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" Ayat ini membuktikan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alam sekitarnya (http://www.ikim.gov.my).

Walau bagaimanapun, kita tidak harus pasrah tanpa usaha. Payung perlulah disediakan bagi mengelak daripada basah buat kali kedua. Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t. sering mengingatkan manusia untuk bersiap sedia. Ayat 71, surah An-Nisa' menyatakan "bersedialah dan berjaga-jagalah". Hal ini demikian membuktikan bahawa membuat persediaan sebelum sesuatu berlaku atau sebelum melakukan sesuatu bukanlah satu perkara asing bagi Islam (http://www.ikim.gov.my).

Sistem amaran awal bencana merupakan satu langkah yang diperlukan bagi mengelakkan masalah bencana alam berulang. Sistem ini akan membantu kita mengesan kemungkinan berlakunya bencana alam dengan lebih dahulu. Dalam kes bencana Tsunami misalnya, sistem tersebut boleh mengesan gegaran yang akan menyebabkan Tsunami berlaku. Sistem ini terdiri daripada unit-unit seismograf (alat pengesan gempa bumi), pengesan ombak dan alat DART. Alat DART inilah yang akan menilai dan melaporkan kewujudan dan intensiti ombak Tsunami selepas gempa bumi di lautan berlaku (http://www.ikim.gov.my). Sistem amaran ombak Tsunami di Lautan Pasifik telah terbukti berkesan menyampaikan maklumat berkaitan bencana ini. Misalnya di Jepun, sebelum pembinaan sistem ini, 14 kejadian Tsunami telah mengorbankan lebih 6000 nyawa, namun setelah diperkenalkan dengan sistem ini, daripada 20 kejadian Tsunami yang melanda, nyawa yang terkorban hanyalah seramai 215 orang sahaja.

Peranan sistem komunikasi juga dilihat amat penting terutamanya ketika menyalurkan maklumat. Sistem amaran awal ini tidak akan dapat berfungsi dengan baik jika jaringan komunikasi negara-negara di Lautan Hindi tidak cekap. Jaringan komunikasi penting bagi memastikan maklumat bencana dapat disampaikan secepat mungkin kepada negara-negara yang terlibat. Apalah gunanya sistem yang menelan belanja RM76 juta ini, jika maklumat yang diperolehi itu tidak dapat disalurkan kepada negara-negara penerima bencana.

Pembangunan sistem amaran awal ini juga mesti disertakan dengan program kesedaran awam. Orang ramai mesti dididik dengan maklumat yang tepat berkenaan bencana alam. Mereka mesti sedar akan kemungkinan bahaya yang bakal mereka hadapi dan cara berhadapan dengan bahaya tersebut. Program kesedaran ini juga akan menyokong kepada kejayaan sistem amaran awal yang bakal dibina kelak. Dengan program kesedaran dan pendidikan, orang ramai akan tahu cara untuk bertindak dalam keadaan bencana yang sedang melanda tanpa menimbulkan kejadian panik.

Selain itu, pengkajian tentang topografi tanah sebelum memajukan sesuatu kawasan juga penting bagi mengelak bencana alam (http://www.theborneopost.com/?p=11757). Para pemaju perumahan dan pusat komersial di negara kita perlulah mengkaji bentuk muka bumi ataupun topografi di kawasan yang akan dibangunkan terlebih dahulu bagi mengelak sebarang masalah serta bencana yang mungkin timbul pada masa hadapan. Kajian yang teliti mengenai keadaan topografi kawasan yang ingin dibangunkan amat penting bagi membantu pihak pemaju merancang pembangunan mereka. Hal ini demikian kerana, kesilapan mengukur kekuatan tanah akan menyebabkan bangunan yang dibina berhadapan dengan risiko runtuh akibat daripada hakisan tanah dan tanah runtuh. Contoh yang dapat dilihat adalah melalui tumbangnya Highland Tower pada tahun 1993 yang banyak meragut nyawa. Oleh yang demikian, pengkajian tentang kekuatan struktur tanah adalah perlu bagi mengelak bencana alam seperti tanah runtuh daripada berlaku.

Banjir berlaku tanpa memberi petunjuk awal kepada kita, namun apabila melanda, banyak kudrat yang terpaksa dikerah bagi membantu mangsanya. Banjir mengejut yang melanda negeri Johor sejak kebelakangan ini menyebabkan beberapa bandar di negeri berkenaan lumpuh. Oleh yang demikian, pengenalan kepada sistem peparitan yang lebih terkini adalah diperlukan bagi menjadikan sistem peparitan lebih efisen khususnya di kawasan-kawasan yang kerap dilanda banjir. Hasrat tersebut boleh dicapai melalui main peranan oleh badan-badan yang bertanggungjawab seperti Majlis Pembandaran dan Jabatan Peparitan dan Saliran. Sungguhpun begitu, perancangan yang teliti terhadap projek-projek berkaitan dengan sistem perparitan ini perlu dititik beratkan supaya projek-projek yang dirancang tidak menjadi nakhoda kasap, hujung hilang pangkal lesap. Sejumlah peruntukan yang besar juga perlu disediakan untuk menampung kos perlaksanaannya. Hal ini demikian bagi memastikan perancangan pembangunan ini berjalan lancar, menyeluruh dan dilakukan dengan teliti.

Walaupun pelbagai langkah yang diambil untuk mengelak bencana daripada berulang buat kali kedua, hal ini demikian tidak bermakna jika kesedaran orang awan diabaikan. Oleh yang demikian, kesedaran serta amalan bersiap sedia sebelum berlaku bencana adalah satu tindakan yang perlu bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Untuk itu, peranan semua pihak khususnya badan-badan yang terlibat seperti Jabatan Penerangan Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pihak Berkuasa Tempatan haruslah dikerah bagi memberi pengetahuan dan didikan tentang langkah yang sewajarnya diambil sekiranya bencana melanda. Kempen-kempen kesedaran dan penyebaran maklumat perlu juga dilakukan khususnya di sekolah-sekolah dan di tempat-tempat tumpuan orang ramai. Penggunaan jaringan internet harus dimaksimumkan bagi memberi pengetahuan dan panduan kepada pengguna. Contoh terbaik yang ada sekarang adalah menerusi laman Jabatan Penerangan Negara yang ada menerangkan definisi bencana, jenis-jenis bencana, langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko bencana serta badan-badan yang boleh diharapkan jika bencana berlaku.

Selain itu, penyelidikan dan pemantauan terhadap alam sekitar juga perlu dilakukan secara berterusan agar sebarang fenomena bencana alam tidak mendatangkan risiko yang tinggi kepada kehidupan sejagat. Mungkin kaedah pendekatan mesra alam perlu diberi penekanan dalam setiap aspek kehidupan. Pengurangan pengeluaran gas-gas karbon monoksida ke atmosfera di samping usaha-usaha pemeliharaan dan penanaman semula hutan dilihat dapat membantu mengurangkan risiko kerosakan pada lapisan ozon. Negara kita masih lagi mempunyai antara 70 hingga 75 peratus kawasan tanah yang masih diliputi hutan. Hutan memainkan peranan penting dalam persekitaran, pembangunan, kemasyarakatan, ekonomi dan menyumbang kepada kestabilan ekologi negara ini. Pengenalan kepada akta yang lebih tegas dilihat perlu bagi memantau pencemaran, menilai keadaan alam sekitar, memantau pengurusan bahan buangan sisa toksik, dan bencana alam.

Penubuhan Pusat Pengurusan Bencana juga dilihat sebagai satu langkah positif kerajaan bagi melihat keperluan dan persediaan menghadapi bencana. Kebiasaanya, bencana datang tanpa melaungkan amaran. Oleh yang demikian, amalan sediakan payung sebelum hujan dilihat sebagai sesuatu yang dituntut supaya tidak timbul kekalutan dan kepincangan sewaktu mengurus bencana. Selain itu, Penubuhan Tabung Bencana, penting sebagai persediaan jika sesuatu bencana melanda negara. Peranan Jabatan Alam Sekitar dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan iaitu mentadbir dan menguatkuasa undang-undang berkaitan dengan alam sekitar juga dilihat mampu mencapai matlamat jangka pendek dan jangka panjang berhubung pengurusan alam sekitar di negara kita.

Secara keseluruhannya sikap jujur dan telus ketika menjalankan tugas amat diperlukan supaya birokrasi pengurusan pada semua peringkat pentadbiran berjalan dengan lancar dan dipercayai oleh warganegaranya. Selain itu juga, kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar juga penting bagi menjamin kestabilan ekosistem alam sekitar. Selagi ada perancangan baik bagi mengawal segala kebarangkalian terhadap bencana alam, maka segala perancangan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Oleh yang demikian, langkah untuk mengawal kejadian bencana alam perlulah lebih komprehensif dan lebih serius terhadap keseimbangan dan pembangunan yang lebih mampan, di samping mengkoordinasikan pendekatan secara struktur.

Tiada ulasan: