Ahad, 4 Januari 2009

mengapakah subjek sejarah kurang diminati?

PENGENALAN
Sejarah berasal daripada perkataan Greek iaitu inquire yang bermaksud menyiasat dan menyelidik masa lalu dengan teliti berdasarkan bukti yang diperolehi. Istilah ini lebih awal digunakan oleh Herodotus dan kemudiannya ia ditukarkan kepada istilah historia yang bermaksud pengendalian secara naratif berkaitan pembinaan masa lalu. Pembelajaran sejarah berbeza dengan subjek-subjek mata pelajaran yang lain kerana ia bukan sekadar berperanan sebagai memindahkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan, tetapi juga mempunyai misi membina akhlak dan jiwa daripada pengalaman generasi sebelumnya. Kita haruslah memahami bahawa penekanan terhadap ilmu pengetahuan semata-mata belumlah cukup kerana ia dilihat masih belum dapat menjadikan seseorang itu mempunyai accountability terhadap diri, agama dan negara. Oleh kerana itulah kurikulum sejarah di Malaysia menekankan kepada pemupukan nilai-nlai murni dalam diri pelajar sebagai salah satu fokus utamanya. Hal ini dijelaskan dalam Sukatan Pelajaran Sejarah Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah berdasarkan kenyataannya seperti berikut:

“Dalam usaha untuk melahirkan generasi yang dapat memenuhi matlamat dan aspirasi negara, pendekatan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Sejarah perlu menjurus kepada pemupukan kemahiran berfikir dan kemahiran pemikiran sejarah di kalangan murid di samping nilai-nilai murni dan semangat patriotik.”

Walaupun pembelajaran sejarah memainkan peranan penting dalam pemupukan minda, akhlak dan jiwa manusia, namun ianya tetap berada dalam kondisi yang menyedihkan. Sejarah dianggap mata pelajaran yang membosankan, tidak memberi manfaat dan sekadar membuang waktu sahaja. Anhar Gonggong menyatakan bahawa “sejarah dipandang sebahagian orang sebagai masa lampau, lalu dianggap mata pelajaran yang membuang-buang waktu.” Mata pelajaran sejarah dipinggirkan dan kesannya, lahirlah generasi muda yang buta sejarah, yang gagal memahami dan menggunakan sejarah untuk membaiki kepincangan-kepincangan yang wujud dalam kehidupan mereka.

FAKTOR-FAKTOR MATA PELAJARAN SEJARAH TIDAK DIMINATI
Terdapat berbagai-bagai faktor yang menyebabkan munculnya keadaan yang menyedihkan terhadap mata pelajaran sejarah ini. Salah satu di antaranya ialah kecenderungan tumpah tindih dalam kurikulum sejarah. Kurikulum sejarah berada ditakuk lama iaitu lebih menyajikan rekonstruksi peristiwa dan aktiviti manusia masa lampau yang kebanyakannya bersifat abstrak. Hal ini menyebabkan pembelajaran sejarah di dalam kelas tidak lebih daripada aktiviti hafal-menghafal atau terbatas kepada pengembangan ingatan sahaja. Fenomena ini juga telah disuarakan sendiri oleh Prof. Khoo Khay Kim. Beliau menyifatkan pembelajaran sekadar menghafal dan meluahkannya kembali di dalam peperiksaan sebagai “burung kakak tua.”

Faktor seterusnya pula melibatkan kaedah pengajaran guru sejarah. Menjadi kelaziman di kalangan guru kini, mata pelajaran sejarah diajarkan dengan satu kaedah sama ada “ceramah” atau “ceramah bervariasi”. Tumpuan pembelajaran lebih berfokuskan kepada hasil iaitu pelajar dan mahasiswa sebagai objek dan produk semata-mata. Proses pembelajaran dilupakan. sebenarnya proses inilah yang menentukan hasil atau produk yang akan dikeluarkan.

Dyah Kulamasari (2005:12) menyimpulkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya empat komponen yang saling berkait dan menjadi penyebab munculnya masalah dalam pembelajaran sejarah. Pertama, tenaga pengajar sejarah yang kebanyakannya miskin wawasan kesejarahan yang berpunca daripada sifat malas untuk menggali dan mengkaji sumber-sumber sejarah. Hal ini menyebabkan mereka tidak mampu merangsang dan mengembangkan daya imaginasi pelajar untuk menimbulkan rasa ingin tahu tentang mata pelajaran sejarah. Kredibiliti guru sejarah yang rendah ini pastinya akan menghalang objektif pengajaran sejarah daripada tercapai.

Komponen kedua pula ialah kerana penggunaan buku-buku sejarah dan media pembelajaran sejarah yang masih terbatas. Salah satu punca yang menyumbang kepada fenomena tersebut ialah kerana kebanyakan pengajaran guru terlampau terikat kepada buku teks. Malahan nota-nota yang diberi juga disalin seratus peratus daripada buku teks. Media pembelajaran yang diguna pula tetap sama iaitu dengan cara guru membaca buku teks di hadapan kelas. Walaupun penggunaan buku teks mempunyai beberapa kelebihan seperti mempunyai ringkasan dan rumusan sejumlah maklumat penting yang berkaitan dengan sesuatu topik, memudahkan pelajar memperoleh bahan khusus dalam bentuk yang telah disatukan dan menyediakan sumber maklumat yang seragam. Walau bagaimanapun, pergantungan yang sepenuhnya kepada buku teks menyebabkan maklumat dan pengalaman pembelajaran yang ingin diterapkan kepada pelajar-pelajar menjadi terbatas dan kaku. Selain itu, ia juga menyumbang kepada beberapa masalah yang lain. Antara masalah tersebut ialah kesukaran murid memahami istilah yang sukar, abstrak dan di luar pengalaman mereka. Bagi mengatasi kekurangan dan masalah tersebut, maka guru sejarah perlu bijak menggunakan media-media dan sumber-sumber sejarah dalam proses P&P tanpa mengetepikan penggunaan buku teks itu sendiri.

Komponen seterusnya berkait dengan diri pelajar itu sendiri yang kebanyakannya kurang berminat terhadap pembelajaran sejarah. Deliman menyatakan bahwa penyebab rendahnya minat belajar terhadap pembelajaran sejarah adalah kerana “bahan yang disajikan tidak lebih daripada kisah dari rekonstruksi peristiwa dan aktiviti manusia di masa lampau, yang bagi siswa sifatnya abstrak.” Anhar Gonggong pula dengan kenyataannya bahawa “sejarah dipandang sebahagian orang sebagai masa lampau, lalu dianggap mata pelajaran yang membuang-buang waktu.” Perlulah difahami sesungguhnya minat mempunyai pengaruh yang besar terhadap aktiviti belajar. Hal ini kerana proses belajar akan berjalan lancar apabila disertai minat. Oleh sebab itu, guru memiliki tanggungjawab akademik dan moral untuk mencitrakan mata pelajaran yang dibinanya menjadi menarik dan diminati siswa.

Komponen terakhir pula ialah kerana kaedah pembelajaran sejarah pada umumnya kurang membentuk daya intelektual pelajar. Kebanyakan guru pada masa kini lebih mementingkan ingatan terhadap tarikh dan fakta serta membuat rumusan tanpa melatih pelajar berfikir melalui taakulan sejarah. Guru haruslah memahami bahawa sejarah sebenarnya berperanan membentuk daya intelektual pelajar yang mampu membezakan antara kebenaran, bias, muslihat dan pandangan yang sempit dengan pendapat yang matang. Soedjatmoko sudah mengajak para pendidik sejarah agar “buanglah cara-cara mengajarkan sejarah yang mengutamakan fakta sejarah. Jika studi sejarah terbatas pada pengetahuan fakta, maka ia akan mematikan segala minat terhadap sejarah.” Pandangan ini sangat penting diimplementasikan dalam pengajaran sejarah agar tidak terjadi seperti yang dikhuatirkan oleh Winarno Surachmad yakni “siswa tidak berhasil tiba pada taraf kemampuan untuk melihat dan berpikir secara historis, tetapi pengetahuan sejarah mereka berhenti pada dan terbelenggu oleh sekumpulan data, fakta, dan nama-nama orang.”

CARA MENGATASI (PERANAN GURU)
Masalah kredibiliti guru sejarah yang rendah dalam komponen masalah yang pertama boleh diatasi ketika temuduga kerja. Hal ini kerana kurangnya kredibiliti tersebut berkemungkinan berpunca daripada kurangnya ilmu dan minat dalam diri guru tersebut. Oleh yang demikian, pemilihan guru-guru untuk mengajar subjek sejarah ini perlulah daripada kalangan mereka yang mempunyai pengkhususan dalam bidang sejarah dan pilihan keduanya ialah sains sosial. Guru-guru sejarah yang dilantik perlulah memiliki intelektual yang luas dan latihan yang baik dalam mata pelajaran sejarah, mempunyai suka dan minat serta menunjukkan sikap yang baik terhadap pelajar. Selain itu, perlu juga diadakan kursus-kursus latihan profesional supaya guru-guru sejarah dapat dilatih dan disedarkan tentang tugas dan peranan mereka yang sebenarnya. Guru haruslah disedarkan bahawa mereka bukan hanya bertugas dan berperanan menyampaikan fakta-fakta sejarah sahaja tetapi mereka juga adalah ahli sejarah, perancang, penyusun persekitaran pembelajaran dan juga sebagai ahli profesional.

Dari segi pengajaran, guru sejarah yang baik haruslah menunjukkan kebolehan seperti dapat menentukan objektif-objektif pengajarannya dengan jelas, mengajar perkara yang sudah diketahui kepada belum diketahui dan menggalakkan pembelajaran melalui aktiviti P&P. Selain itu, corak penyampaian guru juga mestilah ringkas, mudah difahami, dan mengikut peringkat-peringkat logik. Di samping itu juga, guru juga harus mementingkan rasa kejayaan atau pencapaian, memberi maklum balas, memberi latihan pengukuhan, dan sentiasa memberi dorongan serta galakan.

Laurence J. Peter menegaskan bahawa bakal-bakal guru perlu menjadikan diri mereka guru-guru yang baik dan mereka seharusnya perlu mempunyai sikap yang positif terhadap pelajar-pelajarnya. Hal ini bagi mewujudkan suasana belajar yang ceria. Selain itu, guru sejarah juga haruslah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi, memasukkan unsur humor dalam pengajaran, menjadi seorang yang dipercayai oleh pelajar di samping mempunyai semangat kesungguhan dalam melakukan tugasan. Dalam pada itu, guru sejarah yang baik juga perlu memiliki personaliti yang baik dan minat dalam memaju dan mengembangkan diri.

Bentuk pengajaran dengan menggunakan buku teks semata-mata boleh diatasi dengan cara guru menggunakan sumber-sumber sejarah seperti dokumen (akhbar, majalah, berbagai jenis surat, laporan buku catatan dan lain-lain), rekod-rekod (sumber-sumber kesusasteraan sejarah dan biografi) serta tinggalan-tinggalan berunsurkan sejarah. Selain itu, guru juga perlu menggabungkan media dengan bahan-bahan pengajarannya. Hal yang demikikan kerana penggunaan media mampu menjadikn proses P&P sejarah lebih teratur dan berkesan. Antara kebaikan penggunaan media ialah ia menyumbang kepada peningkatan minat pelajar, dapat menggalakkan pembacaan sendiri dan penyelidikan dalam kalangan pelajar serta mampu meningkatkan pengekalan pembelajaran. Jenis-jenis media atau alat yang sesuaikan digunakan dalam P&P sejarah ialah alat pandang, alat pandang dengar, alat dengar,jadual, peta dan glob serta alat bergambar dan grafik.

Masalah sikap kurang positif terhadap mata pelajaran sejarah dan kaedah pengajaran yang terlalu menumpukan kepada penghafalan fakta semata-mata boleh diatasi sekiranya guru-guru lebih kreatif dengan menggunakan pelbagai kaedah dalam sesi pengajarannya. Kaedah pengajaran sejarah yang dipilh mestilah tidak hanya berhenti pada tingkat fakta, tetapi harus sampai kepada penganalisisan. Bagi mencapai tujuan ini, penambahbaikan terhadap kaedah pembelajaran sejarah haruslah dilakukan. Gde Widja menyatakan bahawa “apabila kita ingin memperbaiki citra yang suram dalam pelajaran sejarah, perlu antara lain usaha-usaha pembaikan cara-cara mengajar guru sejarah.” Pandangan Gde Widja tersebut disokong oleh Sanusi dengan kenyataannya bahwa “agar sejarah dapat berfungsi, kaedah mengajarkan sejarah di sekolah-sekolah harus dibenihi.” Pembenihan terhadap kaedah pembelajaran sejarah tidak sekadar menjadi pemicu minat belajar, tetapi juga sebagai salah satu “instrumen yang berperanan dalam memproses anak didik untuk memperoleh hasil belajar yang baik.” Antara kaedah yang boleh digunakan ialah kaedah permainan poker sejarah, kaedah bercerita, lakonan, inkuiri, penyoalan, perbincangan dan kaedah projek-projek sejarah seperti lawatan dan pameran sejarah. Kaedah-kaedah ini pastinya mampu menarik minat pelajar dan mencabar daya pemikiran mereka untuk terus menganalisis, mengkaji dan mendalami ilmu sejarah.

KAEDAH DAN STRATEGI YANG YANG BOLEH DIAPLIKASKAN DALAM PENGAJARAN SEJARAH
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru boleh memilih dan menggunakan teknik-teknik pengajaran yang sesuai. Teknik-teknik itu haruslah berasaskan kajian daripada bidang-bidang yang ada kaitannya dengan ilmu pendidikan, seperti bidang psikologi, sosiologi, falsafah pendidikan dan pedagogi. Memang tidak dapat disangkal bahawa pelbagai teknik boleh diaplikasikan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, namun demikian harus diingat bahawa tiada satu teknik pun yang dianggap sesuai dan dapat digunakan untuk semua keadaan atau terbaik untuk semua situasi pengajaran. Oleh itu, teknik yang digunakan itu harus bergantung pada peringkat umur, suasana bilik darjah dan kemampuan serta minat murid terhadap bahan pengajaran yang akan disampaikan. Tegasnya, seorang guru itu mestilah bijak memilih teknik-teknik yang akan digunakannya semasa menyampaikan sesuatu pengajaran.

Kaedah dan teknik pengajaran ialah cara yang lebih khusus atau spesifik yang digunakan untuk mengajar (atau menguji) sesuatu kemahiran atau aspek bahasa. Ia boleh wujud dalam bentuk aktiviti, strategi atau taktik, dan bahan atau alat yang berkaitan dengan pelajaran tersebut. Menurut Mengantar Simanjuntak dalam buku Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abd. Aziz pula, teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. Berdasarkan definisi tersebut, dapat diringkaskan bahawa, teknik dan kaedah amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian adalah sama dengan proses P&P sejarah.

Dalam pengajaran sejarah terdapat beberapa kaedah dan teknik yang boleh diaplikasikan dalam bilik darjah. Antaranya, kaedah penceritaan, kaedah inkuiri, kaedah perbincangan, kaedah syarahan, kaedah dapatan, kaedah sokratik, kaedah penerangan, kaedah simulasi, kaedah kaji peta, kaedah kaji gambar, kaedah kaji dokumen, kaedah tutorial, kaedah tunjuk cara, kaedah kaji buku teks, kaedah lakonan dan kaedah projek. Sungguhpun begitu, kaedah-kaedah ini juga boleh membosankan pelajar. Hal ini demikian kerana, pengajaran dengan hanya menggunakan satu pendekatan dilihat hanya dapat menarik perhatian pelajar pada awal pengajaran sahaja namun tumpuan pelajar akan terjejas jika guru terlalu yakin akan kaedah yang digunakan.

Oleh hal yang demikian, penggabungjalinan antara beberapa kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran sejarah adalah perlu bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih ‘hidup’ dan kondusif dan dalam masa yang sama, matlamat pengajaran sejarah dapat dicapai. Wan Nik Muda dan Wan Ruslim Ismail dalam artikel mereka theory of constraints for education menyatakan bahawa penggabungan beberapa kaedah akan menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Untuk itu, mereka telah mencadangkan satu kaedah pengajaran sejarah berdasarkan theory of Constraints. Theory of Constraints (TOC) adalah salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang inovatif daripada perspektif guru dan murid. Teknik ini dapat “menghidupkan” pengajaran dan pembelajaran sejarah sekaligus meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran ini. TOC adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah berdasar pemikiran yang logik dan sistematik. Teknik ini adalah sebagai satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid.

Menerusi perlaksanaan teknik TOC dalam pengajaran dan pembelajaran, murid dan guru berupaya mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran, menyelesaikan masalah dengan berkesan, membuat keputusan secara bertanggungjawab, berkomunikasi dengan baik dan memperoleh pembelajaran sepanjang hayat. Melalui aplikasi teknik TOC juga, tiga kemahiran dapat digabungjalinkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu kemahiran berfikir secara kritis, kemahiran berfikir secara kreatif, kemahiran generik. Contoh yang boleh kita ambil menerusi penggunaan teknik TOC dalam pendidikan sejarah adalah sebagaimana berikut; sesi bercerita (pemahaman konflik dan cara watak membuat keputusan), kajian kes (modifikasi kelakuan dan tingkah laku, pembelajaran nilai murni dan kerohanian), dan kandungan Huraian Sukatan Pelajaran (kemahiran berfikir dan perancangan strategik).

Dalam pendidikan terutamanya pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah, terdapat beberapa teknik atau aktiviti TOC yang boleh diaplikasikan iaitu, teknik awan (the cloud ), teknik sebab dan akibat ( logic branch ), teknik penyelesaian masalah (problem solving ). Teknik awan adalah satu teknik yang mengkehendak pelajar memikirkan tentang sesuatu kejadian, idea, situasi dan penyelesaian konflik yang bertentangan kehendak. Konflik yang hendak diselesaikan mungkin berbentuk konflik internal yang hanya melibatkan satu pihak sahaja atau konflik eksternal yang melibatkan dua pihak. Dalam usaha menyelesaikan konflik, hanya satu kehendak sahaja yang dicapai atau diperolehi. Penyelesaian ‘win-win’ diberikan oleh pelajar berdasarkan pemikiran yang logik dan sistematik agar kedua-dua keperluan yang menjurus kepada matlamat bersama boleh dicapai.

Teknik sebab dan akibat menerangkan bagaimana sesuatu tingkah laku, idea atau kejadian mengakibatkan kesan-kesan berikutnya. Penekanan yang perlu diberikan ketika melaksanakan teknik sebab dan akibat dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah termasuklah, Memahami teks atau maklumat yang diberikan, mengenal pasti objektif pengajaran dan pembelajaran (what to learn). Menentukan titik tolak atau permulaan peristiwa (the begining event), mengenalpasti perkara-perkara penting yang terkandung dalam teks, menyusun perkara-perkara tersebut mengikut turutan yang bermula dengan titik tolak peristiwa, mengemukakan maklumat yang menyokong perkara-perkara penting (anggapan antara sebab dan akibat) yang memperkembangkan “higher-order thinking”.

Teknik penyelesaian masalah pula satu teknik pengajaran yang bertujuan untuk memberi peluang dan ruang kepada pelajar lebih produktif dan bertukar pandangan dalam usaha untuk menyelesaikan persoalan yang dikemukakan kepada mereka. Teknik ini boleh digunakan bagi merancang langkah-langkah dengan sistematik secara kolaboratif untuk menghadapi dan mengatasi cabaran ke arah pencapaian matlamat yang telah ditetapkan. Terdapat beberapa langkah yang perlu diberikan perhatian ketika melaksanakan teknik penyelesaian masalah dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah. Antaranya, mengenal pasti matlamat yang diingini dan matlamat tersebut mestilah jelas, mengenal pasti cabaran-cabaran yang akan dihadapi sebelum pencapaian matlamat yang telah ditetapkan, mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi cabaran dan menyusun langkah-langkah untuk mengatasi cabaran mengikut keutamaan.

Selain menggunakan teknik tersebut, guru-guru juga boleh mengubah suai teknik-teknik yang sedia ada kepada suatu teknik yang lebih kreatif. Contohnya dalam menggunakan pendekatan penyelesaian masalah, guru boleh menggantikan pemberian masalah secara formal kepada mengenalpasti masalah dalam pantun teka-teki (lihat lampiran). Para pelajar perlu menyelesaikan masalah teka-teki tersebut. Seterusnya guru akan membimbing pelajar mendalami persoalan teka teki tersebut dan mengadakan sesi perbincangan. Dengan itu, para pelajar akan lebih faham dan berminat dengan pelajaran mereka. Dalam pada itu, pengaplikasian teknik permainan dalam sesi pembelajaran juga boleh menjadikan proses P&P menjadi lebih menarik. Contohnya mengaplikasikan teknik permainan poker dalam proses pembelajaran koperatif. Teknik ini mengkehendaki guru menyuruh pelajar membentuk kumpulan kecil seramai empat orang dengan satu set kad poker. Set poker dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian yang mengandungi soalan dan bahagian yang mengandungi jawapan. Kad yang mengandungi soalan dipilih dan dicabut terlebih dahulu oleh pelajar sebelum memulakan permainan (prinsip terbuka). pelajar akan mencabut set kad yang mengandungi jawapan secara bergilir. Kad jawapan yang tepat akan disimpan oleh pelajar manakala kad yang mempunyai jawapan yang tidak tepat akan diletakkan semula pada kad di bahagian bawah sekali. Setelah berjaya memadankan kad-kad soalan dengan kad-kad jawapan, pelajar perlu membuat analisis atau deskripsi atas jawapan tersebut. Setelah itu, semua laporan diselesaikan, atau setelah masa yang diperuntukkan telah tamat, setiap pelajar hendaklah berkongsi laporan mereka dengan pelajar-pelajar yang lain. Laporan yang dikongsi akan dilanjutkan dengan penambahbaikkan oleh pelajar-pelajar disertai dengan pendapat dan bukti dengan dibantu oleh guru. Selepas itu pelajar membuat kesimpulan setelah mendapat penjelasan daripada guru. Walau apapun kaedah atau teknik yang digunakan oleh guru dalam proses P&P, perkara yang paling penting adalah kesediaan dan kekreatifan guru itu sendiri dalam mengenal pasti kehendak dan kebolehan pelajar, suasana bilik darjah dan beberapa faktor lain. Hal ini bukan sahaja memerlukan usaha yang gigih daripada kalangan guru-guru bahkan juga memerlukan pengorbanan masa dan tenaga dalam memastikan kesesuaian kaedah dalam bilik darjah.

ALAT BANTUAN MENGAJAR
Alat bantuan mengajar (ABM) merupakan satu lagi faktor penting yang perlu diambil kira dalam ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Charles B. Klasek menjelaskan bahawa pengajaran yang bersistematik adalah guru yang dapat menggabungkan penggunaan media dan bahan-bahan pengajarannya. Wilkinson dalam strategi pengajaran sejarah KBSM, menyenaraikan sembilan sumbangan media pendidikan kepada proses pembelajaran. Penggunaan alat bantuan mengajar menurut William dapat memberikan latar belakang pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar dalam membantu aktiviti pembelajaran dan memahami konsep-konsep sesuatu subjek. Selain itu, penggunaan ABM juga dapat menggalakkan minat pelajar, dapat mendalam serta memberi makna kepada pembelajaran, dapat memberi pengalaman-pemgalaman yang bermakna di samping dapat mengembangkan kemahiran komunikasi pelajar. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan pengekalan pembelajaran, dapat menggalakkan pembacaan dan penyelidikan dalam kalangan pelajar dan juga dapat memberi kesan ekonomi masa dalam pembelajaran. Para pelajar yang kurang pandai juga dapat dibantu dan meningkatkan kefahaman mereka melalui pengginaan alat ini.

Terdapat beberapa jenis alat bantuan mengajar yang boleh digunakan dalam proses P&P. Antaranya bahan bergambar dan grafik seperti penggunaan fotograf, carta-carta, poster, poskad dan glob, alat pandang tayang seperti transparensi, slaid, dan filem jalur, alat dengar seperti radio dan pita rakaman dan alat pandang dengar seperti televisyen dan filem. Selain itu, bahan-bahan sumber sejarah seperti artifak, dokumen sejarah dan tinggalan arkeologi turut sesuai digunakan semasa pengajaran.

Walaupun terdapat banyak alat bantuan mengajar yang boleh digunakan semasa mengajar, guru tidak seharusnya lupa akan perlunya memilih alat-alat yang sesuai dengan setiap topik yang diajar. Alat yang dipilih mestilah menepati dengan objektif pelajaran. Perkara ini penting dalam mencapai tujuan khusus. Contohnya guru boleh menggunakan gambar dan tayangan bagi menambah kefahaman pelajar terhadap sesuatu topik yang diajar. Selain itu, guru juga perlu menentukan kesesuaian alat yang dipilih dan mengkaji dahulu minat pelajar dalam sesuatu bilik darjah. Hal ini demikian bertujuan menarik perhatian pelajar dan menjadikan sesuatu sesi P&P itu seronok dan pelajar dapat memahaminya dengan mudah. Dalam pada itu, guru juga perlu melihat tahap kebolehan pelajar. Perkara ini penting untuk menentukan kesesuaian bahan yang dipilih dengan tahap pemikiran pelajar. Contohnya dalam mengajar pelajar yang pandai, guru hanya boleh menggunakan ABM yang ringkas sahaja seperti penggunaan slaid dan jadual. Selain itu juga, guru perlu peka dengan faktor masa dan gerak kerja susulan. Penggunaan alat haruslah disesuaikan dengan masa mengajar. Guru juga perlu menjadi lebih kreatif dengan melibatkan aktiviti lain dengan hanya menggunakan satu ABM. Hal ini demikian penting dalam membantu guru menjimatkan kos dan masa untuk menyiapkan sesuatu ABM itu.

KESIMPULAN
Sejarah merupakan satu mata pelajaran yang penting. Hal ini demikian kerana pengajaran sejarah mampu membentuk jiwa, akhlak dan jati diri bangsa khususnya dalam memupuk semangat patriotisme. Sungguhpun begitu, pengajaran dan pembelajaran subjek ini memerlukan penghayatan dan minat bagi menimbulkan konsep kesedaran atau celik dalam sejarah. Oleh yang demikian, peranan guru amatlah ditagih dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik dan mampu membawa pelajar menghayati peristiwa sejarah itu seperti yang sebenarnya. Guru yang kreatif dapat mempengaruhi tahap kesedaran pelajar. Jadi, penggunaan pelbagai teknik, alat bantu mengajar, dan minat guru sejarah itu sendiri merupakan nadi penggerak pada kejayaan tersebut.




Hasil tugasan saya dengan rakan Muhd Nor Shamsul Bahari Bin Sikandar
LSP 1053: KURIKULUM PENDIDIKAN SEJARAH
UPSI 07


BIBLIOGRAFI

Abd. Aziz Abd. Talib (2000). Pedagogi Bahasa Melayu: Prinsip, Kaedah dan Teknik.
Kuala Lumpur: Utusan Publication dan Distribution Sdn. Bhd.

Abdul Rahim Abdul Rashid, 2000. Panduan Latihan Mengajar, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abd. Rahim Abd. Rashid (1989). Strategi Pengajaran Sejarah KBSM. Petaling Jaya:
Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Ahonen, S. (2001). Politik of Identity through history curriculum: narratives of the past
for social exclusion-or inclusion? Dalam Journal of Curriculum Studies, 33(2),
179-194.

Anhar Gonggong. Suara Merdeka, 23 Jun 2005.

Ariffin Ba,ada (1991). Penerapan nilai-nilai merentas kurikulum – ke arah melahirkan
generasi yang harmonis dalam jurnal pendidikan, 35(75), 41-48.

Deliman, A. (2005). Perspektif Materi Pendidikan Sejarah Yang Ideal, Socio, Vol. I, Nomor 1, Yogyakarta: HISPISI dan FIS UNY.

Dyah Kumalasari (2005). Sejarah dan Problematika pendidikan dalam Historia Edisi Pertama 7-22.
Gde Widja (1990). Dasar-dasar Pengembangan Strategi Serta Metode Pengajaran Sejarah Edisi Pertama. Jakarta: Depdikbud.

Idrus A. Rore. Metode Poker Suatu Alternatif Pengembangan Daya Tarik Pelajaran Sejarah. Diperoleh pada Februari 3, 2008 daripada http://www.geocities.com/
konferensinasionalsejarah/idrus_a_rore_s_pd.pdf.

Jamizal Zainol (2008). Slogan membantutkan pemikiran. Diperoleh pada Februari 11, 2008 daripada http://Jamizalzainol.wordpress.com/2008/01/07/slogan
membantutkan-pemikiran/.

Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abd. Aziz (2003). Pedagogi Untuk Asas Pendidikan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Khaw Poh Seng, 2001. Kemahiran Berfikir dan Berkomunikasi TOC;Satu Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Berfikir dan Penyelesaian Masalah,
Kuala Lumpur, Pusat Perkembangan Kurikulum.

Md. Nasir B. Masran. Membina Komuniti Pemikir Sejarah dalam Bilik Darjah. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Shaharuddin Basri Ibrahim, Chan Lee Chiun dan Muslimin Fadzil (2004). Penggunaan buku teks secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah untuk murid berprestasi rendah di peringkat sekolah menengah. Diperoleh pada Februari 11, 2008 daripada myschoolnet.ppk.kpm.my/bhn_pnp/bs_sejarah/bs_kbsm_sej3.
Pdf.

Sirkka Ahonen (2001). The Past, History and Education dalam journal of Curriculum
Studies 33 (6), 737-751.


Soedjatmoko (1976). Kesadaran Sejarah dalam Pembangunan, Prisma, Edisi ketujuh. Jakarta: LP3ES.

Sanusi (1992). Fungsi Pengajaran Sejarah Sebagai Ilmu. Jakarta: Universitas Indonesia.

Sukatan Pelajaran Sejarah Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (2000). Pusat Perkembangan Kurikulum: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Winarno Soerachmad (1978). Metodologi Pengajaran Nasional Edisi Pertama. Jakarta: Jenmars.

Website TOC for Educations di peroleh pada Mac 14 2008 :http://www.tocforeducation.com

Yoyok Susatyo dan Ady Soejoto, (2005). Efektivitas Hasil Belajar Mata Kuliah Pengantar Ilmu Ekonomi Program S1. Pendidikan Ekonomi Jurusan Ekonomi Melalui Pembelajaran Langsung dalam Jurnal Studi Sosial (JSS). Vol.1. No.1. 89-101.
























Tiada ulasan: